Busur dan anak panah
Tangan sudah di'tape' tanda sakitnya sendi pada jari dan tangan. Langsung tak terlintas dalam hati dan perancangan bahawa tahun ini diri direzekikan untuk memanah. Berbusur dan beranak panah di jari dan tapak tangan.
Sungguh la apa yang baik itu semua sesuai dengan perancangan Tuhan yang satu. Setelah sekian lama jari berehat dari menulis di blog, hari ini kembali menari dengan aksara di sini.
Direzekikan berjumpa dengan orang yang mahir dengan ilmu memanah, menjadikan jalan dan peluang untuk memanah itu terasa luas terbentang. Akhirnya ada juga rezeki untuk belajar memanah dengan guru. Bukan hanya mimpi tapi realiti yang dirasakan terlalu tiba-tiba. Tapi tepat masanya.
Mungkin juga Tuhan ingin memujuk hati. Dengan segala yang jadi, semua yang dirasakan rapuh dan hancur, Tuhan kembali memujuk dengan perkara yang disukai.
Untuk kalini, aku perlu belajar untuk sentiasa bersangka baik dengan setiap perancanganNya. Belajar untuk memandang semua sisi dengan setiap kebaikan dan bukan hanya melihat segala yang buruk dan binasakan.
Kita adalah apa yang kita hendakkan. Belajarlah untuk sentiasa bersangka baik dengan Allah. Untuk setiap yang disangka, itulah yang sebaiknya.
Seperti mana kita menarik dan melepaskan panah, seperti itu juga kita letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah untuk membawa panah itu kemana. Kita sudah usaha dengan segagahnya menarik tali busur dan usaha melepaskan panah sedaya dan semampu yang boleh. Maka ketika mana jari melepaskan panah, seperti itu juga dengan segala hal yang telah diserahkan sepenuhnya pada Allah. Biar dipandunya panah ke tempat yang selayaknya. Seperti mana hati ini, semoga hati ini sentiasa dipandu untuk terus bersangka baik dengan Tuhan sekalian alam.
--
Busur dan panah.
Bila dipilih dan ditarik, itu adalah yang menjadi pilihan dan bilamana sasaran sudah dihadapan, kita memilih untuk melepaskan panah. Ketika panah meluncur laju di udara begitu jugalah dilepaskan segala rasa yang ada. Biar jauh menjauh dan tidak berpatah balik kembali.
Untuk setiap perkara yang terjadi, boleh jadi bukan dalam kekuasaan kita. Maka dilepaskan biar menjadi dan kembali kepada yang hak. Ternyata, memanah langsung berada dalam kedudukan yang paling khas dalam diri. Selain dari sukan lain yang ingin dicuba, setidaknya, sudah aku laksanakan satu daripada yang lain.
Semoga saja semangat ini akan kekal tumbuh dan menghidup.
Adios.

Comments
Post a Comment