Hijrah di akhir September
بسم الله الرحمن الرحيم
Tahun ini boleh dikatakan tahun yang penuh dengan pelbagai rasa dan keadaan. Banyak peristiwa besar yang berlaku dalam hidup dan tentunya semua itu mengubah hidup seorang aku yang selama ini boleh dikatakan penuh dengan drama-drama lain.
Rezeki Allah tidak pernah salah alamat dan ketetapan serta rancangan Allah juga tak pernah salah kejadiaan. Sungguh, kita manusia kita merancang dan Allah juga merancang. Pada akhirnya, rancangan Allahlah sebaik-baik rancangan.
Pada April, ketika raya Aidilfitri, aku telah menjadi tunangan orang. Lelaki yang paling tidak ku sangka-sangka, bahkan selama hidup tidak pernah terbayang bahawa jodohku akan dijumpakan dalam keadaan begini.
Pada awal Jun, kami berdua diijabkabulkan berwalikan Ayah dan disaksikan kaum kerabat yang lain. Selamat menjadi seorang isteri dan suami. Kami, berkahwin. Justeru itu, bermulalah kehidupan aku sebagai seorang Puan kepada seorang Tuan.
Boleh kata sepantas dan semudah yang tak pernah terjangka akal dan fikiran. Sungguh la bila didoakan untuk dihadirkan pasangan diwaktu yang tepat maka benarlah tepat. Tepat mengikut perkiraan Allah dan segalanya mudah dan lancar tanpa ada ragu.
Sungguh, ini hadiah dari Allah.
Setelah itu, mula berfikir untuk tinggal sekali. Rezeki apabila pasangan kita bekerja dalam daerah yang sama, dan kemudian juga rezeki diberikan ketua majikan yang memudahkan segala urusan.
Maka aku berbincang dengan pasangan untuk membuat keputusan memohon untuk pindah tempat kerja. Perbincangan setelah ditimbang tara antara kami berdua disertakan dengan keadaan semasa, kami berkeputusan untuk menghantar dulu permohonan untuk berpindah tempat kerja. Aku memohon untuk dipindahkan ke kawasan yang lebih dekat dengan tempat suami dan rumah sewa kami. Kalau ikutkan, tempat aku bekerja memerlukan aku untuk menyewa dan pasangan aku juga menyewa. Kami hanya berjumpa pada waktu hujung minggu sahaja itupun sekiranya tiada program lain.
Bulan berganti, tarikh keputusan perpindahan keluar. Aku sesegera itu menyemak keputusan pertukaran sekiranya lulus atau gagal. Paparan skrin pada ketika itu menunjukkan keputusan negatif. Aku masih diperlukan untuk berkhidmat di tempat kerja sekarang. Langsung aku maklumkan kepada suami. Katanya, adalah tu hikmahnya. Cuba lagi nanti.
Namun selang tiga ke empat hari, aku dikhabarkan oleh ketua majikan aku melalui hantaran mesej yang menyatakan bahawa permohonan aku untuk berpindah telah diluluskan. Sungguh, tak aku sangka bahawa akan ada rezeki untuk berpindah sesuai dengan masa dan keadaan aku.
Maka semingga masa yang diberikan untuk berkemas, menyelesaikan tugas-tugas yang ada, kemaskini data dan segala hal yang berkaitan kerja dan rumah sewa. Seminggu yang lelah tapi mudah. الحمد الله segala urusan satu-satu dapat diselesaikan. Terima kasih tak terhingga untuk semua pihak termasuklah suami tersayang yang banyak membantu dari segala hal dan perkara.
Perasaan ketika hendak meninggalkan pulau yang banyak memberi kenangan dan pelajaran terasa agak sebak. Tetapi apabila memikirkan bahawa aku boleh kembali lagi ke sana memujuk hati yang rawan sedikit ini. Bukan jauh perpindahan ini. Cuma mungkin akan memerlukan sebab lain untuk hadir dan datang. Itu saja.
-----
Penghijrahan ini adalah satu keperluan. Sudah menjadi aturan hidup bahawa yang bertemu pasti akan berpisah. Sampai masa, tempat aku mencari rezeki bukan lagi di tempat itu tetapi di tempat lain. Moga tempat baru akan menjadi yang baik-baik saja dan semoga semuanya dipermudahkan Allah.

Comments
Post a Comment