Menulis
Pernah aku nyatakan dulu bahawa menulis ini kerja orang yang sendiri. Orang yang ingin meluah tapi tak tahu pada siapa dan apa. Begitu juga alasan yang digunapakai oleh aku untuk kekalkan diri hidup dan waras. Agar setidaknya tidak mati sebelum mati. Masih mampu untuk meluah melalui jalan menaip dan bukan bercerita.
Kalau dengan keluarga dan rakan, ya aku juga bercakap. Aku mudah bertutur apa adanya yang dirasakan seronok untuk berkongsi. Tapi menurut aku, kalau yang dirasakan sedih dan syahdu, lebih baik menerusi penulisan. Mungkin kalau diluah melalui bicara, bakal menangis dulu bukan bercerita.
Sungguh, banyak sangat perubahan demi perubahan yang berlaku dalam hidup aku semenjak ini. banyak ulah dan perilaku aku yang aku rasakan berbeza mengikut situasi dan rasa. Perubahan dari segi kekuatan diri juga semakin hari semakin aku rasa kurang. Ya, sewajarnya begitulah. Usia makin meningkat, bukan tumbuh membesar lagi, makin berkurang kadar segalanya.
Bukan lagi seperti anak kecil yang cergas ke sana sini, berlari dan tidak pernah lut kala jatuh berdarah. Sekarang ini, hendak jatuh pun takut. Perasaan takut untuk terluka dan pada akhirnya lebih memilih untuk mengelak dari menghadap. Dulunya yang gagah berani menghadap apa saja, namun sekarang menjadi penakut dengan segala hal yang belum lagi berhadap. Aneh.
Tapi, begitulah hidup.
--
Begitu juga dengan menulis. Untuk terus hidup seperti manusia biasa, aku memilih untuk menulis. Biarlah segala yang ditulis tidak difaham orang, yang pasti dengan aku menaip dan mencurahkan apa yang terbuku dalam hati dan fikiran ini dapat membantu aku sedikit sebanyak untuk sentiasa berfikir dengan sewaras dan sematangnya.
Lama sangat menulis ini hidup dengan diri. Sejak dibangku sekolah. Aku mulakan dengan penulisan hati dan perasaan yang menurut aku bila telah selesai ditulis, begitu juga dengan perasaan yang ada. Biar sendiri pernah tahu bahawa begitulah yang dirasa dulu dan ketika dijumpa dan dibaca kembali, "wah, sebegitu sekali aku berdrama ya,''
Tapi bila dibaca dan diingat kembali, banyak kesan dari penulisan aku dahulu hingga kini. Aku lebih tahu untuk berfikir dari banyak sudut dan bukan hanya melihat dengan kaca mata sendiri. Aku banyak belajar melalui menulis.
--
Hal yang paling ketara menurut aku ketika menulis adalah, ketika mana hati aku menjadi serawan-rawannya. Bukan kata aku tidak boleh menulis ketika gembira, tapi banyaknya ketika hati dan emosiku berada pada tahap paling bawah. Pada ketika kata-kata tidak lagi mampu untuk membantu aku untuk kekal tenang dan hanya dengan menulis setiap yang terbuku menjadikan aku lebih baik.
Kata orang, 'coping mechanism' untuk terus hidup. Alhamdulilah, sekarang masih hidup dan bernafas seadanya.
Aku sentiasa menjadikan menulis sebagai satu alat untuk aku sentiasa berasakan bahawa ya, aku masih punya alat ini untuk bantu aku hidup. Tidak juga aku bermaksudkan bahawa aku bergantung sepenuhnya pada alat ini. Selagi mana Allah memberikan izinnya untuk aku terus menulis, selagi itu aku menulis. Banyaknya untuk bantu diri sendiri kerana masih sedar diri bahawa diri ini perlu banyak pertolongan diri Dia.
Pinta aku, semoga kemampuan dalam menulis ini akan tetap ada dan membantu dan andai kata suatu masa kelak aku sudah tidak mampu untuk menaip mungkin sampai masa aku pergi. Harapnya, kekal hingga akhir hayat.
--
Tuhan, aku hidup dengan Rahman dan RahmatMu.

Comments
Post a Comment