Perasaan
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Untuk kali ini, aku lebih memilih untuk diam. Bukan kerana aku sudah kalah, tapi lelah dalam mengejar dan meminta untuk dipandang. Aku makin sedar diri, bukan kita yang kurang tapi kita memang tidak dipandang sejak azali. Muka yang tersua-sua minta untuk dikasih dan disayang.
Aku taktahulah, mungkin kerana kenangan dan memori lama menjadikan aku yang ini. Seorang manusia yang gigih meminta untuk dikasih. Aku tahu, kita hidup ini hanya perlukan redha dari Allah. Cukup itu saja dan segalanya akan baik-baik saja. Benarlah, manusia tidak pernah tahu erti cukup. Mungkin dalam diri ini tiada sifat qanaah yang cukup.
Aku sewajarnya bersyukur dengan apa adanya. Masih lagi meminta untuk berlebih-lebihan. Minta untuk disayang sedang diri sendiri sudah cukup seadanya. Aneh sekali permainan hati ini. Aku hanya minta untuk diterima apa adanya. Diri yang penuh dengan lompong dan koyak ini masih ingin hidup dan rasa bahagia. Mungkin sukar sekali nyatanya ya hendak peroleh yang namanya bahagia.
Mungkin juga apa yang diminta itu jelasnya sangat sulit untuk dinyatakan. Tapi, untuk kali ini, aku rasa cukuplah. Aku tak hendak sudah menangih dan mencari. Kasihan sungguh diri ini yang sentiasa menangih untuk rasa disayang dan dikasih. Cukuplah untuk kali ini.
Masih punya Ibu yang menjadi alasan terkukuh untuk aku kekal hidup. Aku sememangnya tiada prinsip hidup yang kukuh. Jelas cuma selagi masih bernafas dan ada Ibu, aku akan hidup. Kerap sekali aku langitkan doa, semoga aku tidak mati sebelum mati.
Kata orang, hidup ini keras.
Yang kuat saja mampu bertahan. Sepertinya, aku semakin lemah dari hari ke hari.
--
dan, masih belum terlewat, Selamat Hari Raya semua.

Comments
Post a Comment