Bahagia
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Terlalu banyak benda yang dah jadi sepanjang tahun ini. Biarpun baru bulan April, tapi jelas sangat terlalu banyak yang jadi sampaikan tak tahu nak mula dari mana. Tak apalah, janji menulis. Untuk kali ini, aku memilih untuk menulis dalam Bahasa yang menurut aku lebih dekat dihati dan lebih mudah untuk disampaikan.
--
Seperti yang telah aku kongsikan pada penulisan sebelum ini. Cukuplah untuk sedekad ini, perasaan itu akhirnya sudah menemui titik penghujung yang bagi aku amat mendamaikan. Telah aku sendiri katakan kepadanya bahawa aku telah siap untuk melepaskan perasaan itu. Nyata, kedamaian yang aku perlukan. Aku bukan perlu memaksa dalam melupakan, aku cuma perlu berdamai dengan hati bahawa segala ini adalah mustahil untuk berlaku. Kisah yang sejelasnya sudah lama ada pengakhirannya. Paling jelas, jawapan bagi kisah ini sudah lama ada, tinggal aku baca dan melihat sendiri dengan mata hati. Tinggal hati ni berdamai dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
Untuk setiap doa yang aku langitkan kepada ya Sami’, agar diberikan yang sebaiknya untuk aku. Dan benar Dia sesungguhnya Maha Mendengar. Dan segalanya dimakbulkan pada ketetapan yang tidak pernah terjangka akan masa dan tempatnya. Buktinya sedang aku rasakan sekarang. Tuhan nyatanya benar. Bukan baik pada perkiraan ku, tapi baik menurutNya. Dan semua itu yang sebaik-baiknya. Sesuai dengan doa yang dilangitkan.
Aku sentiasa merasakan bahawa ujian hati ini sesungguhnya yang paling sulit untuk dihadapi. Aku juga tahu, ujian yang hadir tujuannya untuk menguatkan. Agar menjadi manusia yang lebih memanusiakan. Yang sentiasa belajar untuk redha dalam keredhaan. Aku masih perlu banyak belajar tentang yang namanya Hidup. Bukan mudah tapi tidak juga mustahil. Buktinya sehingga kini aku masih gagah menghadapi apa yang ada. Buktinya jelas, tinggal nampak dengan mata hati atau tidak. Syukur.
Sebelum ini aku acapkali persoalkan kenapa sedekad masa yang diambil untuk aku betul-betul melepaskan ia pergi ? Nyata salah sendiri yang tidak mahu melepaskan dengan kedamaian. Dimulut saja katanya sudah terima, sudah redha dengan semuanya. Tapi hati pada ketika itu masih tetap menaruh harap pada pokok yang telah mati tak berakar. Jadi salah siapa? Salah siapa yang masih memilih untuk menjadi buta sedang mata itu digunakan untuk melihat dengan kejelasan yang sebaiknya ? Begitulah manusia yang lupa akan nikmat yang diberikan lalu meminta akan memberi mudarat pada diri.
Benar, itulah kisah aku yang lalu. Yang menurut aku, andai kata ada yang dalam posisi aku yang lalu, bangkitlah. Jangan ditunggu pintu yang telah tutup berkunci. Sedangkan masih banyak pintu-pintu lain yang sedang menunggu. Tinggalkan saja dengan keterimaan yang seadanya. Sedang doa yang sentiasa diminta agar diberikan yang sebaiknya, maka Ya Sami’ akan jelas memberikan sesuai dan sebaiknya.
Aku banyak belajar. Bukan dibenci masa lalu, tapi tetap masih boleh dijadikan sebagai pengajaran yang mengajar untuk menjadi manusia yang lebih kasihkan diri sendiri. Apabila diri dulu terlalu menangih untuk dikasih dan dipedulikan, diri sendiri sehinggakan lupa cara untuk mengasih yang paling dekat. Yang hidupnya sudah bersama sejak dalam perut. Ya diri sendiri. Kenapa juga perlu kita menangih dari orang lain sedangkan kita ada diri sendiri yang pastinya tidak akan tinggal pergi. Janganlah terlampau dalam segala hal. Cukuplah seadanya.
Belajarlah untuk menghargai yang ada. Kerana itu akan lebih mengajar kita untuk bersyukur dengan apa yang ada. Rasa kecukupan dalam segala hal.
--
Aku juga sentiasa meminta agar hati ini akan diberikan keteguhan dalam semua hal. Sedangkan aku juga yakin seyakinya bahawa hati ni milik Ya Khaaliq, yang mencipta segala rasa yang ada. Semoga perasaan yang dirasa sekarang tetap utuh dan kekal sehingga akhirnya. Ketika mana dihadirkan dia yang memahami itulah kesyukuran yang paling membahagiakan. Terima kasih.
Dan untuk kali ini, aku dengan seyakinnya ingin katakan, aku bahagia seadanya. Alhamdulilah.
adios.

Comments
Post a Comment