He missed me.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
--
Seperti yang kalian tahu atau mungkin tidak tahu, kami telah diberi izin untuk kembali pulang ke rumah masing-masing. dan aku memilih untuk tidak pulang. Dan khabar tentang keizinan untuk pulang tidak aku khabarkan kepada keluargaku. Cukup sekadar mereka tahu kawasan aku sekarang dalam tempoh PKPB dan aku baik-baik saja di sini.
Alhamdulilah, kami yang berada di asrama disediakan makanan tiga kali sehari. (pastinya berat aku akan bertambah) dan kami diminta untuk kekal berada di asrama dan tidak dibenarkan keluar sendiri tanpa kenderaan daripada kampus. Jadi ya, lebih dan kurang, kami terhimpun di sini. Kalau mengikut perkiraan aku, kami sudah hari ke-40.
Sudah 3 bulan aku disini dan inilah tempoh yang paling lama aku menjauh dari keluarga. Sebelum ini, paling lama hanyalah 2 bulan setengah begitu. Tapi untuk kali ini, lebih dan mungkin akan menjadi lebih lama lagi. Ada beberapa sahabat aku yang mengetahui tentang situasi aku, mereka bertanyakan kenapa aku memilih untuk tinggal berbanding pulang? dan sejujurnya aku sendiri tiada jawapan yang kukuh untuk diserahkan kepada mereka.
Dalam keadaan yang masih terikat dengan fasa praktikum ditambah dengan keadaan emosi aku, aku memilih untuk tidak pulang. Setidaknya sehingga fasa praktikum aku habis atau mungkin sehingga tahun ini selesai. ya, tekad. Untuk kali ini, aku tekad untuk tidak pulang. Bukan aku tidak merindui keluarga, malah rindu. Tiap kali melihat foto keluarga, aku rindu. Tapi, aku merasakan, adalah lebih baik untuk aku tidak pulang kali ini.
Aku yakin dengan Allah. ada Dia yang menjaga dan melindungi mereka.
--
Akhirnya, aku dirindui .
oleh Ayah.
Aku, anaknya yang selalu memeningkan kepalanya, yang sentiasa bergaduh dengannya, yang sentiasa tidak sependapat dengannya, yang paling takutkannya.
ya aku. Ayah rindukan anaknya ini. Anak perempuan pertamanya. Tersangat sukar sebenarnya untuk Ayah sendiri mengaku yang Ayah rindu, tapi tadi, Ayah rindu Angah.
Angah rindu Ayah jugak.
--
seperti aku,
ego juga dalam menyatakan bahawa aku rindu mereka.
--
Ibu video call.
Mahu tunjuk yang Ayah sedang mencari ikan di dalam kolam ikannya. Ibu bahagia sangat. Raut wajahnya penuh dengan cahaya. Ayah juga. biarpun penuh dengan lumut, Ayah senyum. Gembira apabila mendapat ikan yang dicari.
Kata Ibu, ikan itu untuk Along. Sebab esok along dah nak pergi berlayar dah. Ibu siap cakap, Kakak jangan cemburu pula, nanti kakak balik pun, Ayah cari ikan untuk Kakak jugak.
dan Kakak menangis.
--
Ayah video call.
Bertanyakan bagaimana keadaan aku. Apa yang aku sedang lakukan. dan menyerahkan telefonnya kepada Ibu. Kata Ibu, ada orang rindu, tapi taknak mengaku. Ayah ketawa. dan aku hampir menangis. Entahlah, sama ada aku yang semakin tua, atau Ibu Ayah memang ada kuasa untuk buat aku menangis. Aku akan memilih yang pertama.
Mereka terlalu baik hatinya.
--
Aku memilih untuk berada jauh kerana aku merasakan aku lebih baik begitu. Aku tetap akan pulang juga, tapi bukan sekarang.
semoga semuanya baik-baik saja.
sampai jumpa.

Comments
Post a Comment