Dua minggu
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Cukup sebulan lebih berada di sini. Tapi benarlah, dalam kita merancang, tidak kiralah sehebat mana sekalipun ia, tetap jua akan bergerak sesuai dengan perancangan yang Maha Kuasa. Seperti kepulangan kami ke bumi di bawah bayu ini, untuk meneruskan praktikum kami yang dijadualkan selama tiga bulan atau dua belas minggu. Cukup selama empat minggu sahaja kami diberi ruang dan peluang olehNya untuk mengalami suasana di sekolah sebelum kerajaan kembali mengumumkan bahawa negeri ini akan kembali dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat. Selama dua minggu tempoh tersebut akan dikuatkuasakan dan kami, perlu berada di kampus dan tetap meneruskan praktikum kami, secara maya.
Benarlah, pengalaman itu mematangkan. Setelah hampir enam bulan berada di rumah, menghadapi proses PKP, PKPB dan PKPP, kami menjadi lebih bersiap siaga dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan ini. Mungkin, ini juga salah satu daripada hikmahNya. Untuk melatih diri sentiasa bersedia apabila berhadapan kembali dengan situasi seperti ini. Sejujurnya, selama seminggu melihat kepada perkembangan kes sepanjang tempoh pkpb ini, kami melihatkan bahawa ia mungkin akan berpanjangan, namun, ia hanyalah sekadar andaian. Jika kelak, bilangan kes yang ada akan berkurangan dengan baik, keadaan mungkin akan kembali seperti biasa kembali.
Segalanya mungkin, dengan izinNya.
--
Bezanya mungkin kerana kita mempunyai sahabat dengan kita. Bukan sendiri, bukan juga keseorangan. Mempunyai sahabat yang baik-baik juga rezeki. Mungkin dek kerana semua dalam situasi yang lebih kurang serupa, jadi rasa empati antara satu sama lain itu menjadi lebih dekat dan memahamkan. Namun, kami masih juga tertanya-tanya, apa mungkin kelak, kami juga akan berada dalam situasi yang tidak selesa atau mungkin tertekan dek keadaan yang boleh dikatakan kurang selesa seperti ini. Tempoh seminggu masih terlalu awal untuk membuat justifikasi yang seadanya. Mungkin ia masih memerlukan pemerhatian yang lebih khususnya untuk melihat kepada perkembangan emosi dan fikiran.
Mungkin sebaiknya kita perlu kekal tenang dalam apa jua situasi yang sedang dan akan kita hadapai. Kerana dengan ketenangan itu bukti bahawa kita yakin dengan ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah. Dalam setiap perkara yang terjadi, tiada satupun perkara yang terlepas dari pemerhatianNya. Jadi, teguhkan keyakinan dengan setiap apa yang berlaku.
--
Setidaknya, selama tempoh ini, kami masih lagi mempunyai tugasan yang perlu dilaksana dan disiapkan. Jadi, tidaklah menjadikan kami tiada tujuan di sini. Masih ada jadual yang perlu dituruti, cuma dalam keadaan yang berbeza.
--
Dan untuk sahabat-sahabat yang lain, semoga urusan kalian juga Allah mudahkan.
fin.

Semoga dipermudahkan segala urusan
ReplyDelete✨✨✨✨
-Aiha-
terima kasih awak ^^
Delete