Mimpi.

 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,


Untuk kali ini, penulisan ini juga akan menjadi lebih mendalam dek kerana hati yang menginginkan ia menjadi sebegitu. 

Syukur kerna Tuhan mengkehendakkan kami selama enam bulan berada di rumah, sesuai dengan kehendak hati. Tempoh yang tidak pernah sekalipun kami bermimpi untuk menjadikan ia sebagai sebuah kenyataan. 

Enam bulan umpama mimpi yang menjadikan kami terus terleka dengan kebebasan yang diberikan. Kebebasan yang selama ini dimahukan tetapi tetap tahu bahawa ia tidak mungkin menjadi nyata. 
Justeru itu, terima kasih dengan enam bulan ini. Untuk kasih dan sayang yang dicurahkan, untuk masa yang ada sehingga sanggup bersusah dan berpayah sesama kita. 

Juga untuk segala memori yang sempat dicipta bersama sehinggakan sedar, mungkin, tiada lagi masa sebegini yang membolehkan kita untuk berkumpul sekerap ini. Pertemuan demi pertemuan antara kita pastinya memberikan nilai tambah yang baik dalam setiap orang. Unsur positif yang dimiliki saling dikongsi antara satu sama lain menjadikan suasana lebih harmoni biar kadang terasa hendak menghempuk seorang demi seorang yang berkelakuan layaknya seperti kanak-kanak. 

Tapi benarlah, kita sememangnya begitu. Kanak-kanak yang semakin hari semakin membesar. Kita juga masih belajar, untuk lebih mengenali dunia ini dengan lebih baik dan jelas. 

**

Tuhan, 
terima kasih, untuk enam bulan yang penuh dengan warna dan warni ini. 
aku bersyukur diberikan ruang dan peluang ini. 
untuk lebih mengenali diri dengan lebih baik.
membaiki apa yang kurang dan cacat.
menjadi diri sendiri yang penuh dengan kekurangan. 

Tuhan,
aku bersyukur, 
dengan rezeki dikurniakan keluarga dan sahabat yang baik-baik.
kala duka, dan senang. 
menghiburkan hati yang kadang hilang sirnanya. 

Mereka adalah anugerah yang terpaling indah buatku.

**

Yang akan menghentikan mimpi adalah sebaik sahaja kita bangun daripada lena yang panjang ini. Biarpun begitu, tetaplah yakin bahawa mimpi ini adalah benar. Kerna perasaan itu ada. 

Untuk sahabat hatiku, semoga kalian turut diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian hidup ini. Ujian bukan tujuannya untuk melemahkan, malah ia adalah untuk menguatkan. Mungkin saja kita tidak akan berjumpa lagi selepas ini, tetapi tetaplah yakin bahawa doa itu mendekatkan. Berdoalah. 

Dan kita bukan berpisah, kita hanya berbeza simpangan yang pada akhirnya akan bertemu juga pada satu jalan yang sama. 

adios. 

Comments

Popular Posts