Ramadan Kareem 2020
Bismillah
-
untuk kali ini, mungkin dari segi ayatnya agak tidak teratur, malah mungkin agak mengelirukan. tapi, hadap sajalah sebab penulisan kali ini agak lain sebab mungkin ditulis merujuk kepada rasa yang ada dalam hati yang paling tersembunyi.
--
Untuk kalini, aku syukur sangat bila digerakkan hati untuk pulang. Sepulangan aku yang bagi aku tak pernah tercapai dek fikiran yang aku akan berada di rumah dalam tempoh masa yang aku tak tahu bila tarikh pulang kembali. Sebelum ini, bila pulang ke rumah, dah yakin pasti dengan tiket kembali pulang kesana sudah dibeli. Jangkaan yang sudah di rancang dan tiada yang berubah. Tapi kali ini, aku beli tiket sehala saja. Dan jelas tiada tanda untuk pulang kesana buat masa terdekat. Sungguh, bagi aku sendiri, ini adalah anugerah terindah yang pernah aku miliki. Dan sungguh, hadiah ini adalah yang paling bahagiakan hati.
Hati, dalam keadaan yang masih rapuh, tetap meronta-ronta untuk kembali pulang pada yang haknya. Dia inginkan berada tenang disamping yang dikasih dan disayang. Kerana dia tahu, hanya dengan berada dekat dengan mereka menjadikan dia hidup. Mungkin dia dikatakan terlalu sensitif atau mungkin juga dikatakan terlalu beremosi tentang sesuatu perkara. Tapi, sebab mungkin sedar bahawa hidup ini tidak lama. Malah, mati sendiri menjadi rahsia Allah.
Bahagia sangat hati ini bila boleh melihat senyum tawa kekasih hati. Terasa cantik dan comel sahaja periku beliau dengan jenaka yang tak terlawak pun. Tapi sungguh membahagiakan. Entah la, bagi yang lain itulah kebiasaan. Tapi bagi hati ini, tiada yang biasa, tiada yang lama. Yang ada cuma yang baru dan baru sahaja.
Dalam keberadaan ini, selama yang ada ini, sungguh tak pernah nak bermimpi untuk berada selama ini disamping kekasih. Sejak 3 tahun yang lalu, mana pernah selama ini cutinya. Yang ada paling-paling pun sebulan lebih begitu. Tapi itulah, kali ini, tak pernah dijangka dihati malah nak terlintas difikiran pun tidak.
Rasa kelakar bila ingat kembali tahun lepas, bila takwim tahun 2020 keluar, riuh dengan pertambahan semester dan perubahan sistem. Keluh fikirkan cuti yang tak banyak dan masa yang mungkin akan menjadi kurang untuk keluarga. Nah, sekali Allah bagi cuti tanpa tarikh akhir yang jelas didepan mata. Tak disangka-sangka.
'Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?'
Dikurniakan peluang berpuasa sepenuhnya disamping keluarga. Solat tarawih sepenuhnya berimamkan kaum keluarga. Berbuka disamping keluarga dengan juadah dari air tangan kaum kerabat, bersama-sama berdoa sementara menunggu waktu berbuka, bergurau senda di meja makan, bersama-sama mengemas rumah dan banyak lagi perkara yang sebelum ini sering diambil enteng menjadi keutamaan diri. Kerna diri ini sedar dan tahu, mungkin saja peluang keemasan seperti ini tidak akan muncul lagi dalam masa terdekat ini. Jadi manfaatkan.
--
Sejujurnya, penulisan kali ini terasa lebih banyak mengingati segala peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh berada dirumah. Dan agak canggung sebenarnya menulis dalam bahasa Melayu kerana ia terlihat sangat tunggang-langgang dari segi penyusunan ayat dan sebagainya.
Kelakar kan, padahal major dalam Bahasa Melayu, tapi sukar betul nak menulis dalam bahasa ini. Cukuplah sekadar ini saja, sekadar untuk menjadikan ia sebuah kenangan bahawa, ya, 'aku pernah meluangkan masa sebegini penting bersama keluarga. dan ya, keadaan ini pastinya akan diingati sampai mati. '

Comments
Post a Comment